Friday, February 12, 2010

Tahun Harimau

Tahun-tahun dan Lima Unsur

Sesiapa yang lahir dalam mana-mana lingkungan tarikh berikut boleh dikatakan lahir pada "Tahun Harimau," serta juga membawa lambang unsur yang berikut:
8 Februari 1902 - 28 Januari 1903: Harimau Air
26 Januari 1914 - 13 Februari 1915: Harimau Kayu
13 Februari 1926 - 1 Februari 1927: Harimau Api
31 Januari 1938 - 18 Februari 1939: Harimau Tanah
17 Februari 1950 - 5 Februari 1951: Harimau Logam
5 Februari 1962 - 24 Januari 1963: Harimau Air
23 Januari 1974 - 10 Februari 1975: Harimau Kayu
9 Februari 1986 - 28 Januari 1987: Harimau Api
28 Januari 1998 - 15 Februari 1999: Harimau Tanah
15 Februari 2010 - 3 Februari 2011: Harimau Logam
2022 - 2023: Harimau Air

Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Selamat Tahun Baru Cina

Pihak PSS SMK Tuanku Muhammad ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua warga TMS yang berbangsa Cina. Semoga tahun baru ini adalah lebih baik dari tahun sebelumnya.

Tidak lupa juga kepada warga TMS yang lain, selamat bercuti dan selamat pulang semula ke sekolah pada hari Khamis 18.2.2010 ini.

Tuesday, February 9, 2010

Pengambilan Pengawas PSS Tahun 2010

Temuduga masih lagi terbuka kepada semua pelajar yang berminat untuk menjadi Pengawas PSS Tahun 2010 ini.

Antara syarat-syarat untuk memohon adalah lulus semua mata pelajaran bagi tingkatan 2-5, tiada masalah atau rekod disiplin dan keputusan bacaan NILAM yang baik.

Monday, February 1, 2010

PENYAMPAIAN SIJIL NILAM TAHUN 2009

Penyampaian sijil ini adalah bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para pelajar yang telah berjaya membaca sekurang-kurangnya 72 buah buku sepanjang mereka berada di sekolah menengah. Walau bagaimanapun, ada diantara penerima sijil yang berada di tahap menengah rendah.

Penyampaian sijil kepada para pelajar yang layak sekurang-kurangya tahap Jauhari Gangsa ini telah disempurnakan oleh GPK1 SMK Tuanku Muhammad, Tn. Hj. Abdul Karim bin Mohamed sewaktu perhimpunan rasmi Isnin, 1 Februari 2010.